Ahad, 5 September 2010

# Diariku # Tazkirah

Adakah anda kenang saudara yang susah?


"Jah, macam mana persiapan raya ko Jah?" tanya mak anon
"Ish semua siap...baju anak sudah, baju laki sudah, baju aku pun sudah...sedondon Mak Anon oiiii... langsir baru, sofa baru. Bak kata, semualah serba baru." Jawab cik Jah.

Ini dialog dan jawapan yang tipikal dan biasa kita dengar. Maklumlah raya setahun sekali. Bukan tak biasa dengar, raya sakan, tapi lepas raya sakit. Mana tak sakit bila poket kering. Biasanya orang kita akan belanja sakan masa nak raya. Maklumlah nak bergaya dengan baju baru,kasut baru,langsir baru, sofa baru dan tak kurang kereta baru! Hebat.

Namun sedarkah kita dalam keriangan kita membeli belah persiapan raya ...ada golongan yang kurang bernasib baik? Saat ini ibu terkenang sepupu ibu, Wok  yang berumur 5 tahun dan baru kehilangan ibunya pertengahan ramadhan lalu. Sayu bila beraya tanpa ibu di sisi. Biasanya seorang ibulah yang akan sibuk dengan persiapan raya anaknya. Pastinya raya tahun ini tidak memberi makna kepada si kecil ini. Mukanya yang naif membuatkan hati ibu tersentuh mengenangkannya. Malah mak ibu cerita semasa hari pengurusan jenazah emaknya Wok masih tidak memahami apa itu satu pemergian. Dia masih menyangka emaknya tidur seperti biasa. Bergenang air mata ibu mendengar cerita emak ibu.

Adakah dengan membayar zakat fitrah sebanyak RM5.20 (harga di Miri) kita menyangka bahawa ia sudah memadai?
Adakah kita menyiapkan peruntukkan wang sedekah dari duit perbelanjaan raya kita untuk mereka yang memerlukan?
Adakah kita mengambil tahu saudara mara kita yang sedang merintih kesusahan untuk persiapan menjelang Syawal?
Ibu sendiri menyedari hakikat ini apabila terkenang Wok. Selama ini ibu menyangka bahawa setiap orang pasti sedang sibuk dengan persiapan raya semata-mata.

Marilah kita sama-sama mengambil tahu perkembangan semua ahli keluarga kita, bukan setakat adik beradik, saudara malah malah sepupu sepapat yang dekat mahupun jauh. Sekurang-kurang dengan pemberian kita yang tidak seberapa itu meringankan beban yang mereka tanggung. Ini kerana ramai antara kita yang sibuk menghantar sedekah sana sini untuk mendapat nama dan pujian namun ahli keluarga sendiri dibiar tanpa khabar. Bak kata pepatah, beruk di hutan di susukan , anak di rumah dibiar mati kelaparan.


Percayalah dengan membayar zakat dan sedekah tidak akan membuatkan kita jatuh miskin. Sebaliknya akan lebih kaya...Kaya bukan dari segi wang ringgit semata-mata namun kaya yang hebat ialah hati yang dermawan. Hakikatnya kita  tertipu dengan falsafah sekularisme di mana duit akan habis jika berterusan dibelanjakan. Namun dalam Islam jika duit itu dibelanjakan pada jalan Allah , ia akan lebih berkat malah akan berganda.Even dalam teori barat, sesuatu akan habis apabila digunakan secara berterusan. TETAPI dalam Islam, andai kita bersyukur maka Allah akan menambahkan nikmat.

Membayar zakat dan sedekah adalah salah satu perilaku kita untuk menunjukkan kita bersyukur. Bersyukur dengan nikmat yang ada. Ia melatih jiwa kita bersederhana dalam semua aspek kehidupan. Apabila kita melatih diri kita bersederhana maka insyaAllah tiada akan wujud situasi di mana kehendak yang melebihi keperluan.


Salam sayang dari ibu

Euphoria Shaklee Malaysia

Euphoria Shaklee Malaysia