Faktor kegagalan bf???

Seronok bila membaca di forum tentang bagaimana nak meningkatkan pengeluaran susu. Banyak petua yang dapat dikongsi bersama. Namun jangan pula kita lupa ada beberapa faktor mengapa sesetengah ibu yang kurang berjaya dalam bf. Maka secara kesimpulannya kita juga perlu tahu apakah punca dan sebab musabab yang boleh menurunkan productivity susu ibu. Setelah membaca dan melalui pengalaman sendiri, saya dapati adakala kita sendiri kurang peka dengan tabiat harian kita. Apa yang dapat saya nyatakan ialah, antara faktor yang boleh menjejaskan pengeluaran susu ibu adalah seperti berikut:

1. Kurang minum air

Badan kita terdiri daripada lebih 70% air. Maka kita perlulah mengekalkan pengambilan air yang banyak dalam kehidupan seharian.Dicadangkan setiap kali selepas penyusuan atau sesi mengepam, kita haruslah meminum segelas air kosong bagi menggantikan air di dalam badan. Indicator yang paling mudah untuk mengetahui sama ada badan kita kekurangan air ialah dengan melihat kepada warna urin kita. Seandainya berwarna kuning pekat maka ia menandakan badan kita kekurangan air dan sebaliknya jika ia berwarna kejernihan menandakan badan mempunyai kuantiti air yang mencukupi. Jangan menjadikan alasan untuk malas ke tandas membuatkan kita kurang minum air, ini kerana kesannya sangat buruk ke atas buah pinggang kita dalam jangka yang panjang.

2. Pengambilan ubat-ubatan dan pil perancang

Terdapat beberapa pendapat doktor yang mengatakan pengambilan ubat-ubatan dan pil perangcang pada dos yang rendah tidak menjejaskan produksi susu namun melalui pengalaman saya sendiri ianya menjejaskan walau dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana ubat-ubatan memberi kesan ke atas sel dan sistem badan. Pengambilan pil perancang sebagai contoh boleh menjejaskan perubahan hormon di dalam tubuh dan pengambilannya boleh merosakkan vitamin b yang telah ada di dalam tubuh kita. Kekurangan vitamin b pada tubuh boleh menyebabkan seseorang berada di dalam keletihan,kemurungan dan stress maka lambat laun memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu. Namun berbeza dengan pengambilan vitamin dan pemakanan tambahan kerana ianya merupakan makanan kepada sel dan secara langsung memberi kesan positif kepada sistem tubuh sekiranya di ambil dalam kadar yang betul dan diikuti dengan pengambilan air yang mencukupi.

3. Pengambilan makanan sejuk dan berais.

Bukanlah satu yang tidak dibenarkan sama sekali namun pengambilan sejuk seperti aiskrim dan minuman berais tidak digalakkan. Mungkin boleh sekali sekala dalam kuantiti yang sedikit agar tidak kempunan. Namun jika ianya diambil dalam kadar yang tinggi dan kerap maka ianya akan terus memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu.

4. Minuman berkarbonat dan berkafein.

Ramai yang sedar yang minuman berkarbonat dan berkafien adalah tidak baik untuk kesihatan namun ianya sangat diminati. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang teruk sepanjang menyusukan anak di mana saya sangat kerap meminum nescafe yang dimakan bersama biskut cream crackers. Saya mula perasan selepas seminggu, susu saya mula berkurangan dan ditambah dengan sakit gigi yang amat sekali. Setelah merujuk dengan beberapa doktor gigi dan petua orang tua maka saya dapati nescafe itu memberi kesan yang negatif kepada sistem tubuh kita. Sejak dari itu saya tidak lagi mengambil nscafe tetapi sekadar teh sekali sekala.

5. Makanan yang tidak teratur.

Terdapat beberapa ibu yang sering merungut mereka tidak mempunyai masa untuk mempunyai makanan yang teratur. Secara tidak langsung pastinya si ibu akan kekurangan makanan yang seimbang bagi tubuh badannya. Ini pastinya akan memberi kesan yang tidak baik ke atas pengeluaran susu ibu. Walaupun si ibu merasakan ia tetap mempunyai susu yang banyak walau kurang makan kerana ada sesetengahnya memang berniat untuk berdiet menjaga badan namun kita boleh melihat kesannya dalam jangka panjang ia bukannya satu yang berkekalan.

6. Kurang dd (demand) di atas penyusuan@ malas mengepam

Bagi ibu yang tidak bekerja seperti saya tiada masalah untuk menyusukan anak maka badan akan terus generate pengeluaran susu. Tetapi bagi ibu yang bekerja terdapat sesetengah ibu yang mempunyai masalah besar untuk mengepam di pejabat namun ianya sangat penting dalam memastikan agar tubuh kita tahu bahawa masih ada demand ke atas susu ibu. Begitu juga ada petua songsang yang mengajar agar jangan bf anak di waktu malam agar si anak tidak terlalu mengempeng dengan si ibu jika si ibu bekerja. Pada pendapat peribadi saya, waktu penyusuan secara langsung si anak dan si ibu adalah waktu terbaik untuk mengeratkan kasih sayang dua insan ini. Sewaktu itulah digalakkan kita membaca beberapa ayat yang boleh ditiupkan di ubun2 anak kita agar dia menjadi anak yang soleh/solehah, lembut hati ke atas orang tuanya dan etc. Secara ksimpulannya susu akan mula merundum apabila kurang permintaan ke atasnya.

7. Keletihan, stress dan moody.
Ini antara faktor yang boleh menyebabkan pengeluaran susu terbantut dan jika ianya berterusan boleh mengakibatkan susu merundum dengan teruk sekali. So apa yang boleh kita buat untuk kurangkan masalah ini ialah dengan rehat yang mencukupi, pengambilan makanan yang teratur, minum air dengan kuantiti yang mencukupi untuk badan dan akhir sekali pengambilan vitamin juga membantu dalam mengatasi masalah ini dari berterusan.

8. Mind Setting

Fikirkan boleh! Kegagalan kebanyakan berpunca dari dalam diri kita sendiri.Dialog biasa yang kita dengar " Ohhh, saya tak dapat nak teruskan menyusu sebab susu sikit sangat, dan dah kering". Ini semuanya alasan yang nyata. Jika ada kemahuan di situ ada jalan. Jangan sesekali fikirkan kegagalan kerana kegagalanlah yang akan menghampiri tetapi fikirkan kejayaan maka kejayaan yang akan kita perolehi.


Jika ada ibu2 yang mempunyai pengalaman yang boleh menyebabkan susu anda merundum marilah kita kongsikan bersama puncanya agar kejayaan yang diperolehi akan lebih diberkati.

Catatan Popular