Bukan tak boleh...

Bukan tak boleh seorang isteri itu berkerjaya tetapi pastinya ada batas-batas tertentu agar rumahtangga tidak tergadai.
Bukan tak boleh seorang isteri mempunyai jawatan hebat asalkan dia tahu tempat/kedudukannya sebagai seorang isteri di rumah.
Bukan tak boleh seorang isteri pandai mencari duit untuk dirinya asalkan beringat untuk setiap hasil yang diperolehinya.

Inilah antara pesanan penting seorang kaunselor kepada saya..... agar saya tidak mudah lupa diri apabila sudah berjaya dalam kerjaya. Ini membuatkan saya lebih insaf dengan pengalaman orang di sekeliling saya.

Cerita pertama-Seorang ibu yang hebat dengan jawatan eksekutif telah meninggal dunia pada usia lewat 30-an kerana mengidap kanser payudara. Ibu ini telah meninggalkan seorang suami dan anak seramai 4 orang ( bongsu berumur 3 tahun). Semasa hayatnya beliau seorang yang sangat komited dengan kerjanya. Pulang ke rumah adakala sehingga mencecah jam 9 malam. Memandangkan mempunyai bibik di rumah, segala urusan anak di serahkan kepada bibik. Duit tidak pernah menjadi masalah dalam kehidupan beliau. Anak-anaknya sentiasa mendapat yang terbaik, baik dari segi pakaian yang berjenama mahupun peralatan sekolah dan barang mainan yang mempunyai kelas yang tersendiri. Namun sayangnya wanita ini terlupa sesuatu akibat terlalu menongkat dunia..... solat dan ibadah menjadi sampingan dalam kehidupannya. Telekung dan sejadah hanya menjadi perhiasan dalam kamar tidurnya. Tanggungjawab sebagai seorang isteri juga diabaikan dengan alasan keletihan dengan tugasan pejabat. Beliau memang seorang yang hebat di pejabat... menjadi idola kepada lelaki-lelaki yang belum beristeri. Sayangnya kesuahan kehidupannya sangat daif. Beliau miskin dengan kasih sayang anak dan suaminya.

Cerita kedua -Seorang lagi ini saya kenalinya melalui seseorang yang sangat rapat dengan saya. Beliau telah berumur 46 tahun dan berkerjaya. Mempunyai anak seramai 3 orang dan kini anaknya sudah besar dan alhamdulillah berjaya dalam pelajaran mereka termasuklah anak bongsunya yang berumur 9 tahun. Selepas lebih 20 tahun mendirikan rumahtangga, suami beliau berkahwin seorang lagi dengan seorang gadis yang berumur hampir sama dengan anak sulungnya. Sayu apabila mendengar ceritanya, mengenai alasan suaminya berkahwin lagi seorang....kerana wanita ini terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Walhal wanita ini berusaha keras untuk membantu suaminya mencari nafkah sama-sama untuk keluarga tercinta namun adakah ini balasan yang diperolehinya. Tetapi wanita tabah ini cuba muhasabah dirinya dan ternyata beliau akui apa yang dinyatakan oleh suaminya. Selama usia perkahwinan mereka yang lebih 20 tahun itu, wanita ini banyak menghabiskan masanya untuk mencari duit memandangkan tuntutan hidup di bandar. Tidak kira hari minggu atau hari biasa beliau memang sibuk. Beliau mengharapkan suaminya memahami namun rupanya ia menjadi dendam dalam diam. Apakan daya nasi dah menjadi bubur, perkara yang lepas tidak boleh ditangisi tetapi masa yang akan datang boleh diperbaiki.

Mak mertua saya sendiri berpesan, jika saya hendak buat tuition buatlah semasa suami bekerja dan jangan sesekali mengganggu masa bersama suami di rumah.Hargailah setiap detik bersama anak dan suami. Biarlah kita miskin duit tapi kaya dengan kasih sayang.

*Benarlah kata orang hati wanita di mulutnya tetapi mulut lelaki di hatinya.

Catatan Popular